Saturday, June 7, 2014

Kes Perkahwinan Wanita Islam Beragama Hindu - Tetamu Tinggalkan Majlis Dan Tidak Menjamah Makanan

Zarinah Abdul Majid, seorang penganut Hindu bernama Islam pada majlis perkahwinannya di sebuah kuil yang diserbu pegawai Jais minggu lalu.

Sejak tujuh tahun lalu, Zarinah Abdul Majid berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuang perkataan “Islam” di kad pengenalannya kerana beliau tidak mengamalkan kepercayaan agama itu.

Beliau berkata, sudah membelanjakan beribu ringgit membayar peguam tetapi semuanya tidak berhasil.

Zarinah akhirnya membuat keputusan tegas untuk berkahwin dengan lelaki dicintainya, seorang penganut Hindu di sebuah kuil.

“Saya sudah tidak takut lagi. Saya sudah bosan dan tidak boleh tunggu lebih lama. Usia saya sudah meningkat dan saya mahu keluarga saya sendiri,” katanya menggunakan bahasa Tamil.

Pada Ahad, pekerja kilang berumur 32 tahun itu diikat “thali” di leher oleh kekasihnya selama tujuh tahun dalam satu upacara perkahwinan Hindu di Petaling Jaya.


Beliau menjemput 400 tetamu dan membelanjakan lebih RM30,000 untuk majlis tersebut.

Tetapi majlis perkahwinan itu tidak berjalan seperti dirancang apabila penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang ditemani oleh pegawai polis menahannya untuk menyoal tentang status agamanya.

“Kebanyakan tetamu saya terkejut dan meninggalkan majlis tanpa menjamah makanan. Sangat memalukan dan menyakitkan hati,” katanya.

Persatuan Hindu Sangam Malaysia, Majlis Peguam dan Badan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan badan bukan kerajaan (NGO) menyelar Jais dan polis kerana “menceroboh” kuil dan mengganggu majlis perkahwinan itu.

Zarina kemudiannya dibebaskan tetapi memberitahu The Malaysian Insider beliau tidak akan mengalah.

“Walaupun nama saya nama Islam, saya mengamalkan kepercayaan Hindu. Saya juga mengikut adat dan budayanya,” katanya dalam satu wawancara melalui telefon semalam.

Zarinah berkata, ibu bapanya beragama Hindu ketika berkahwin pada 1980. Ayahnya bernama S Mahendran dan ibunya S Vasandamma.

“Kemudiannya ayah saya masuk Islam dengan bantuan saudaranya dan menukar nama kepada Abdul Majid,” katanya.

Zarinah berkata, ibunya kekal sebagai Hindu.

Disebabkan itu, katanya, beliau dan tiga adik beradik lain mempunyai status agama Islam dalam surat beranak dan MyKad.

Zarinah berkata, selepas kelahiran adik lelakinya pada 1990, ayahnya meninggalkan rumah dan tidak pernah kembali.

“Ibu saya tidak sedar kami mempunyai status agama Islam kerana beliau tidak boleh membaca. Tetapi keluarga kami hanya mengamalkan kepercayaan Hindu,” kata Zarinah yang tinggal dengan keluarganya di Sungai Way.

Zarinah berkata, sejak 20 tahun lalu keluarganya berjumpa dengan ramai peguam untuk mencari jalan penyelesaian tetapi semuanya gagal.

“Kami sudah membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk yuran guaman tetapi tiada apa yang berubah. Di atas kertas, kami masih Islam,” katanya dengan nada kecewa.

Zarinah berkata, beliau bertemu suaminya tujuh tahun lalu dan membuat percubaan untuk menukar statusnya.

Daripada maklumat peguam dan nasihat daripada rakan-rakan, Zarinah ke Mahkamah Syariah untuk mendapat perintah menukar status agamanya.

“Saya diberitahu mahkamah perlu mengeluarkan surat kepada JPN untuk membuang perkataan Islam di kad pengenalan.

“Apa yang boleh saya katakan saya ditolak ke sana dan ke sini oleh pegawai dan keputusannya amat mengecewakan,” katanya.

Zarinah berkata, beliau tidak boleh mendaftar perkahwinannya mengikut undang-undang sivil selagi mempunyai perkataan “Islam” di MyKadnya.

Beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengadakan upacara perkahwinan tradisional kerana “umur sudah meningkat dan mahukan keluarganya sendiri.”

“Suami saya sempat mengikat ‘thali’ sebagai tanda kami sudah berkahwin,” kata Zarinah yang memakai sari sebelum dibawa ke Shah Alam oleh pegawai Jais untuk siasatan.

Beliau dibebaskan kira-kira jam 2 petang selepas kenyataannya dirakamkan. Menurut Zarinah, tetamunya terkejut.

“Rakan Islam saya juga mengatakan apa yang berlaku di kuil itu tidak sepatutnya berlaku dan pegawai Jais sepatutnya memanggil untuk siasatan kemudian,” katanya.

Zarinah berkata, beliau tahu siapa yang memberitahu pihak berkuasa tentang perkahwinannya tetapi menganggapnya sebagai satu ‘rahmat’.

“Selama ini saya melawan dalam pertempuran yang saya akan kalah untuk hak saya dan tiada siapa yang tahu. Saya harap keadilan akan berlaku sekarang kerana masalah saya sudah diketahui umum,” katanya.

Sementara itu, Jais menafikan menyerbu atau mengganggu majlis perkahwinan Zarinah.

Timbalan Ketua Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad, berkata pihaknya datang ke kuil hanya untuk menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengantin perempuan untuk mengesahkan taraf agamanya.

Beliau berkata, tindakan Jais itu mengikut prosedur selepas menerima aduan daripada orang ramai.

“Itu bukan serbuan atau operasi. Kita hanya datang buat pemeriksaan biasa sahaja tanya pemilik kad pengenalan betulkah dia beragama Islam," katanya kepada The Malaysian Insider.

Zarinah berkata, Jais menyuruhnya menukar nama dan agama untuk mengelakkan dituduh murtad.

“Tetapi itulah yang saya cuba lakukan selama bertahun-tahun. Saya sudah membelanjakan banyak wang dan membuang banyak masa untuk menyelesaikan masalah ini dan sekarang mereka beritahu saya agar melakukan perkara sama,” katanya.

Zarinah berkata, terdapat kemungkinan beliau didakwa menghina Islam jika masalah ini tidak diselesaikan dengan segera.


Sumber

No comments:

Post a Comment